Saturday, April 6, 2013

KISAH NABI MUSA A.S. DENGAN NABI KHIDIR A.S.

 Nabi Musa a.s. merupakan anak kepada Imran b. Yasskhur b. Qahits bin Yaakub.Baginda merupakan adik kandung kepada Nabi Harun a.s. Walaubagaimanapun,Baginda lebih awal diutuskan menjadi rasul berbanding dengan abangnya,Nabi Harun a.s. Beliau dilahirkan di Mesir pada zaman pemerintahan rajanya yang sangat zalim,Firaun yang mengakui dirinya sebagai Tuhan dan akan membunuh orang yang tidak mengakui dirinya sebagai Tuhan.Pada masa itu, penduduknya terdiri daripada dua golongan iaitu golongan Qibthy dan golongan Bani Israel. ( Abd Shukor Mohd. Ikhwan.1994    ).Terdapat pelbagai kisah yang berkaitan dengan Nabi Musa a.s. yang dapat memberi kesan terhadap pembentukan akhlak dalam diri manusia. Antara kisah tersebut adalah “Kisah Nabi Musa a.s. dengan Nabi Khidir a.s.” yang dipetik daripada al-Quran dalam surah al-Kahfi, ayat 60 sehingga ayat 82 dan berdasarkan  beberapa rujukan lain.
Setelah mendapat kemenangan ke atas Mesir,maka Allah menyuruh Nabi Musa supaya mengingatkan kaumnya akan nikmat Allah ( Sidang Pengarang NURULKHAS                ).Lalu Nabi Musa a.s. meyampaikan ucapan baginda di hadapan khalayak umatnya, Bani Israel.Sesungguhnya dalam majlis himpunan tersebut, salah seorang daripada mereka bertanya kepada Nabi Musa a.s., “Siapakah orang yang paling berilmu?” Lantas, Nabi Musa a.s. menjawab: “Aku.” Lalu Allah s.w.t. menegur Nabi Musa a.s. dengan firman-Nya, “Sesungguhnya di sisi-Ku ada seorang hamba yang berada di pertemuan dua buah lautan dan dia lebih berilmu daripada kamu.” Lantas Nabi Musa a.s. bertanya, “Wahai Tuhanku,bagaimanakah aku dapat menemuinya?”Firman Allah s.w.t., “Bawalah bersama-samamu seekor ikan di dalam sangkar dan sekiranya ikan itu hilang,di situlah kamu akan bertemu hamba-Ku itu.”Sesungguhnya teguran daripada Allah itu mencetuskan keinginan yang kuat dalam diri Nabi Musa a.s. untuk menemui hamba yang soleh itu.Di samping itu,baginda terlalu ingin mempelajari ilmu daripadanya.
            Lalu berangkatlah Nabi Musa bersama pembantunya yang juga merupakan anak muridnya iaitu Yusya’ bin Nun Ibn Ifra’im Ibn Yusuf a.s. dengan membawa ikan di dalam sangkar.Akhirnya,mereka berdua tiba di sebuah batu lalu mereka berdua berhenti untuk berehat.Pada masa itulah,Yusya’ melihat satu peristiwa yang ajaib berlaku.Ikan yang dibawanya meronta-ronta dan melompat keluar dari sangkar itu.Ia mengikut aliran air seterusnya menuju ke sungai.Beliau kemudiannya tertidur dan apabila tersedar daripada tidur,beliau terlupa untuk menceritakannya kepada Nabi Musa a.s.
            Mereka kemudiannya meneruskan lagi perjalanannya.Nabi Musa a.s. berasa sangat letih,lalu Baginda meminta pembantunya untuk mengeluarkan bekalan yang dibawa.Pada ketika itu Yusya’teringat akan peristiwa yang aneh tadi. Dia menceritakan segala-galanya kepada Nabi Musa.Lantas mereka kembali ke tempat mereka berehat tadi.Terdapat banyak pendapat tentang tempat sebenar pertemuan Nabi Musa a.s dan Nabi Khidir a.s.Antara pendapat tersebut ialah tempat pertemuan Laut Rom dan Parsi iaitu tempat bertemunya Laut Merah dengan Lautan Hindi.Ada juga yang mengatakan tempat itu ialah di tempat pertemuan antara Laut Rom dengan Lautan Atlantik.Pendapat yang lain mengatakan bahawa ia terletak di Ras Muhammad iaitu antara Teluk Suwais dengan Teluk ‘Aqabah di Laut Merah ( Pustaka Tarbiah.2007:10 ).
            Setibanya di sana, mereka bertemu dengan seorang hamba Allah yang berjubah putih bersih.Nabi Musa memperkenalkan dirinya dan menjelaskan hasrat kedatangannya, iaitu untuk mempelajari sebahagian ilmu dan kebijaksanaan yang dianugerahkan oleh Allah kepada Nabi Khidir. Nabi Khidir berkata kepada Nabi Musa, “Jika kamu mengikutiku ,maka janganlah kamu menanyakan kepadaku tentang sesuatu pun sehingga aku sendiri menerangkannya.”
Kemudian Nabi Musa mengikuti Nabi Khidir dan berlakulah pelbagai peristiwa aneh. Antaranya,Nabi Khidir membocorkan perahu yang ditumpangi mereka berdua.Kemudian, Nabi Khidir membunuh seorang kanak-kanak yang sedang bermain.Terakhir, Nabi Khidir menyapu dinding rumah yang hampir roboh lalu ia tegak kembali.Tindakan-tindakan yang aneh itu dipersoalkan oleh Nabi Musa.Walaupun Nabi Khidir a.s. telah memberikan dua kali peluang kepada Nabi Musa a.s,namun Baginda tetap terlupa akan janjinya.Akhirnya,mereka terpaksa berpisah.  
Sebelum berpisah,Nabi Khidir menjelaskan satu persatu berkenaan tindakan luar biasa yang dilakukannya.Pertama,Nabi Khidir membocorkan perahu itu kerana baginda tahu bahawa pemerintah negeri itu seorang yang zalim dan suka merampas harta benda rakyatnya termasuklah sampan-sampan mereka.Sampan yang mereka naiki itu adalah milik orang miskin dan pemerintah hanya akan merampas harta benda yang elok-elok sahaja.
Kedua,Nabi Khidir membunuh kanak-kanak itu kerana  dibimbangi kanak-kanak tersebut akan mengajak kedua-dua orang tuanya yang beriman untuk turut kufur kepada Allah Taala. Sebagai ganti, selepas kematiannya,ibu bapanya dianugerahkan dengan  anak yang soleh dan lebih mengasihi ibu bapanya.
Seterusnya,Nabi Khidir menegakkan kembali rumah yang hampir roboh itu kerana rumah tersebut adalah milik dua orang anak yatim di kota tersebut dan di bawah rumah tersebut tertanam harta peninggalan bapanya yang perlu diuruskan oleh mereka berdua setelah sampai tempoh masanya.Sekiranya rumah itu roboh,dibimbangi harta tersebut akan dijumpai oleh orang yang tidak selayaknya.Diriwayatkan tempat ini terletak di negeri Antakiyah dan penduduknya menyembah berhala.Turut diriwayatkan bahawa harta peninggalan tersebut termasuklah alwah yang diperbuat daripada emas yang antaranya tercatat perkataan, “Bismillahirrahmanirrahim” dan “La ilaha illallah Muhammad Rasulullah.” ( Pustaka Tarbiah.2007:12 ) Nabi Khidir mengakhiri pertemuan ini dengan berkata, “Semua yang aku lakukan ini adalah bukan daripada kehendakku sendiri tetapi ia adalah ilham daripada Allah Taala.Itulah sebab musabab yang tidak sanggup engkau bersabar terhadapnya.”
PENGAJARAN
Setelah menghayati kisah ini, terdapat beberapa pengajaran yang dapat dijadikan panduan dalam menjalani kehidupan kita seharian.Antara topik utama yang diketengahkan dalam kisah ini adalah aspek keilmuan yang merupakan salah satu aspek terpenting dalam kemajuan sesebuah tamadun.Ilmu merupakan kurniaan Allah s.w.t.Tidak ada seseorang pun yang boleh mendakwa  bahawa dirinya lebih berilmu berbanding orang lain.Hal ini kerana ilmu manusia adalah terhad dan amat terbatas jika dibandingkan dengan ilmu Allah.
Selain itu,kita juga perlu ada kesungguhan dan kesabaran dalam menuntut ilmu supaya kita dapat melahirkan golongan intelektual yang mampu berdaya saing dengan negara-negara maju yang lain.Kesungguhan Nabi Musa dalam menuntut ilmu telah dirakamkan oleh Allah di dalam ayat al-Quran,surah al-Kahfi ayat 60 yang berbunyi, “Dan (ingatlah) ketika Musa berkata kepada pembantunya, “Aku tidak akan berhenti (berjalan) sebelum sampai ke pertemuan dua laut;atau aku akan berjalan (terus sampai) bertahun-tahun.”
Persoalan menepati janji juga diketengahkan dalam kisah ini.Nabi Muhammad s.a.w. pernah bersabda, “Tanda-tanda orang munafik ada tiga;Apabila dia bercakap dia berbohong,apabila dia berjanji dia memungkiri janji dan apabila dia diberi amanah dia mengkhianati amanah tersebut.”Hadis ini menunjukkan pentingnya menepati janji supaya kita tidak tergolong dalam golongan munafik.
Manusia mesti berpegang teguh kepada agama demi melahirkan masyarakat yang harmoni.Pengaruh agama amat penting dalam kemajuan sesebuah tamadun.Walaubagaimanapun,orang Barat berpendapat sebaliknya.Mereka mengatakan bahawa semakin jauh manusia dengan agama, semakin bertamadun sesuatu bangsa itu.Hujah mereka ini berdasarkan situasi yang berlaku di Eropah iaitu pada zaman kegelapan Eropah, manusia amat berpegang kepada ajaran agama masing-masing.Namun,selepas daripada itu,muncullah zaman Renaissance yang mana manusia pada zaman itu sudah semakin jauh daripada ajaran agama masing-masing.Hujah ini disangkal oleh ajaran agama Islam.Sebelum kedatangan agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w.,manusia hidup dalam kejahilan dan kesesatan yang digelar sebagai zaman Jahiliyyah.Setelah kedatangan agama Islam,manusia amat berpegang teguh kepada ajaran agama Islam sehingga muncullah zaman kegemilangan.Kesimpulan yang dapat dibuat berdasarkan situasi ini ialah agama Islam adalah satu-satunya agama yang syumul iaitu mencakupi seluruh aspek kehidupan manusia yang telah mencapai kemuncak kegemilangan tamadunnya pada suatu masa dahulu.
Pengajaran terakhir yang tidak kurang pentingnya juga ialah sebagai hamba Allah,kita tidak boleh terlalu mempersoalkan setiap urusan dan perintah Allah.Sebaliknya, kita mestilah meyakini bahawa di sebalik perintah Allah itu terdapat seribu satu hikmah yang tidak dapat dicapai oleh akal pemikiran manusia.Situasi seumpama ini dirakamkan oleh Allah di dalam al-Quran,surah al-Baqarah ayat 30  iaitu ketika penciptaan khalifah di muka bumi. Firman Allah Taala, “Dan ( ingatlah ) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat, “Aku hendak menciptakan khalifah di muka bumi.” Mereka berkata, “Apakah engkau hendak menjadikan orang yang merosakkan dan menumpahkan darah di sana,sedangkan kami bertasbih memujimu dan menyucikan nama-mu?Allah berfirman, “Sungguh, Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.”

Senarai rujukan:
-Abd Shukor Mohd. Ikhwan.1994.Hikmah dan Teladan Suci 25 Nabi dan Rasul.Kuala Lumpur:Jasmin Enterprise.
-Sidang Pengarang NURULKHAS.Himpunan Kisah-kisah Teladan 97 Kisah-kisah Benar. Gombak: Syarikat Nurulkhas.
-Pustaka Tarbiah.2007.Untukmu Guru.Kelantan: Pustaka Tarbiah.

No comments:

Post a Comment